Inilah kali pertama saya merayakan hari merdeka dengan mengira detik pelancaran bersama rakan karib saya, Rina. Sesungguhnya, tiada orang lain yang lebih sesuai untuk saya meluangkan masa bersama. Kami bersenda gurau dan bersembang seperti biasa. Dan dengan tiba-tiba, dia bergegas mencari sesuatu benda.
Saya berasa hairan. Apakah benda yang dicari-carinya?
Rupa-rupanya, benda misteri itu adalah sebuah cd muzik.
Saya terkebil-kebil melihat cd tersebut.
Suatu ketika dahulu, cd itu amat bermakna kepada diriku. Cd itu adalah hasil projek saya bersama adik saya dan orang tersayang dalam hidup saya, BC. BC dan saya meluangkan masa yang agak banyak untuk merancang dan merekodkan suara dan nyanyian kami sebagai hadiah kepada Rina. Saya mendapat idea tersebut bila mendapati Rina sering meminta BC yang sungguh berbakat, untuk menyanyi dan memainkan sebuah lagu dari Spandau Ballet dengan gitarnya.
"Ha, jika BC merekodkan lagu tersebut dalam cd, kawanku akan dapat mendengar lagu tersebut bila-bila masa sahaja," fikirku.
Yang anehnya, pada waktu itu, Rina dan saya tidak berapa rapat sungguhpun kami telah mengenali satu sama lain selama tiga tahun. Kami tidak menyangka bahawa kami ditakdirkan untuk menjadi kawan karib setelah tiga tahun lagi berlalu.
Berbalik kepada cd tersebut, BC dan saya memilih dan menyusun lagu-lagu lain dan merekodkan kesemua lagu tersebut dengan bantuan adik saya. Itu merupakan satu daripada saat-saat yang terindah dalam hidup saya. Merancang dan meluangkan masa bersama orang tersayang dalam sesuatu projek untuk menghasilkan benda yang bernilai dan indah adalah satu daripada berkat Tuhan.
Dalam proses merekod suaranya, BC menyanyi sehingga terbatuk-batuk. Kesian BC. Sungguhpun demikian, suaranya tetap lunak. Dan tetap menawan. Oleh itu, saya menggantinya untuk menyanyikan dua buah lagu secara solo. Rina berkata bahawa suara saya boleh tahan. Akan tetapi, saya tidak sanggup mendengar suara saya sendiri. Amat memalukan, wei!
Perkara yang membangkitkan api kemarahan saya berlaku tidak lama kemudian. Adik saya yang bagaikan sotong pada hari itu telah membuangkan fail-fail muzik yang telah kami rakamkan dengan susah payahnya. Cakera liatnya bukannya telah ketandusan ruang. Sampai hati dia melakukan perkara demikian! Itulah kali pertama saya merasa marah sehinggakan hidung saya berasap dan saya meragut lima helai rambut adik saya. Fuh! Heh, maafkan saya ya, dik?
Beberapa tahun telah berlalu setelah cd itu dihasilkan. Rina menjadi kawan terapat saya. Saya tidak lagi berhubung dengan BC. Sungguh tidak mudah untuk saya melepaskan segala apa yang telah kami lalui bersama. Tetapi, itulah perkara yang patut dilakukan dan sedikit demi sedikit, saya sekarang dapat mengenangkan BC dan berasa bangga kerana mengenali orang yang seistimewanya.
Jadi, bila Rina mengeluarkan cd tersebut dari koleksinya, saya mengucapkan terima kasih kepadanya dengan girang. Hai, kenapalah saya meragut rambut adik saya beberapa tahun dahulu? Kelakuan saya sungguh tidak berasas. Kaulah adik yang paling bagus dan memahami kakak mu yang gila-gila ini
Sempena hari merdeka ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BC kerana tanpa cintanya suatu ketika dahulu, saya tidak berdaya untuk melepaskan diri dari suatu babak yang kelam dalam hidup saya. BC, sekiranya kamu membaca belog saya, ketahuilah bahawa kerana mu, saya bebas untuk mengetahui maksud cinta yang sebenarnya. Semoga Tuhan memberkati perjalanan hidupmu dan membekalkan segala apa yang kamu perlukan.
Dan kepada pembaca belog saya, semoga kamu merasai nikmat kebebasan dari segi emosi, jiwa dan batin.
Selamat Hari Kebangsaan.